Simpan Emas Dalam Kewangan Peribadi, Duduk Nombor Berapa Ni?

Kongsi Artikel Ini

Pengenalan

Jika anda dah mula simpan emas, atau baru nak mula, pernah tak anda terfikir… 1 gram emas yang dibeli tu sebenarnya berada pada ranking (kedudukan) yang ke berapa dalam pengurusan kewangan peribadi anda?

Ada yang letak emas sama taraf dengan duit belanja. Ada yang anggap emas tu dana kecemasan. Ada juga yang simpan emas, tapi bil kad kredit masih tertunggak. (Yang ni saya tak nak komen panjang… 😅)

EH… SIMPAN EMAS PUN KENA ADA TEMPAT DUDUK KE BANG???

Haa… kenalah. Sebab bila emas duduk di tempat yang salah, kita mudah terpaksa jual dia pada masa yang salah.

Dalam entri ni, saya terangkan satu perkara sahaja: di mana emas sesuai duduk dalam pengurusan kewangan peribadi anda. Contoh yang saya guna dari awal sampai akhir ialah 1 gram emas GAP. GAP (Gold Accumulation Program) ialah akaun simpanan emas Public Gold yang membolehkan anda beli emas sikit-sikit ikut ringgit.

Susun dulu kewangan peribadi ikut keutamaan

Bahasa mudah, setiap ringgit dalam poket anda ada keutamaannya:

(1) Belanja wajib bulanan. Contoh seperti sewa rumah, utiliti, makan, bil.

(2) Dana kecemasan. Duit untuk benda yang tak dirancang, contohnya bil hospital atau servis kereta/motor. Pakar kewangan ada nyatakan, dana kecemasan ni selalunya sekurang-kurangnya tiga hingga enam bulan belanja hidup, diasingkan dalam akaun simpanan khas.

(3) Hutang. Ansuran dan baki kad kredit yang perlu dilangsaikan.

(4) Simpanan jangka panjang dan bermatlamat. Duit yang anda tak perlukan dalam masa terdekat.

Pada pandangan saya, emas lebih sesuai duduk di nombor (4). Maksudnya, kukuhkan dulu nombor (1) hingga (3) terlebih dulu.

Simpan emas kewangan peribadi: empat keutamaan, emas di nombor 4 simpanan jangka panjang
Empat keutamaan kewangan peribadi; emas sesuai di nombor (4). Ilustrasi, bukan data sebenar. Sumber: KWSP

KENAPA TAK LETAK EMAS DALAM DANA KECEMASAN AJE?

Bertenang… haa, nak terang la ni. Emas memang boleh dijual bila perlu. Tapi untuk 1 gram GAP, ada dua perkara yang mudah terlepas pandang.

Pertama, harga jual balik. Untuk GAP ada dua harga. PG Sell ialah harga Public Gold jual kepada anda, iaitu harga anda beli. PG Buy ialah harga Public Gold beli balik dari anda, iaitu harga anda jual. PG Buy ni memang la lebih rendah. Beza dua harga ni dipanggil spread, dan cara kiranya ada dalam Cara Kiraan Spread Emas dan Perak. Andaikan, jika perkara yang libatkan kecemasan itu datang masa harga emas tengah turun, anda terpaksa jual juga, dan mungkin dapat kurang dari harga anda beli dulu.

Kedua, masa duit didepositkan ke akaun bank anda. Jualan GAP dibuat melalui sistem GAP atau di cawangan Public Gold. Justeru, kena ikut pada peraturan (SOP) yang telah ditetapkan oleh Public Gold. Contohnya, jika jualan disahkan sebelum jam 4 petang, duit dikreditkan ke akaun bank pada hari perniagaan berikutnya. Jika selepas jam 4 petang, dalam 2 hari perniagaan berikutnya.

Pendek kata, untuk kes duit kecemasan, sebaiknya ia berada dalam ‘mode’ tunai, bukannya dalam bentuk emas. Melainkan jika anda memang kenal sesiapa yang memang boleh beli emas pada harga yang telah dipersetujui.

Dua perkara bila nak jual 1 gram GAP masa kecemasan: harga jual balik PG Buy dan masa duit masuk akaun bank
Dua perkara bila nak jual 1 gram GAP. *Tertakluk kepada Terma dan Syarat Public Gold

Bila asas dah kukuh, baru masukkan emas

Haa… bila dana kecemasan dah ada dan hutang pun terkawal, barulah tetapkan bajet emas bulanan, kalau anda memang nak simpan emas. Ambil dari duit lebihan selepas nombor (1) hingga (3).

Contoh: harga 1 gram GAP di laman Public Gold ialah RM592 (dikemas kini 18 Okt 2026). Belian minimum GAP ialah RM100, dan GAP boleh dibeli dalam pecahan gram.

Kalau bajet emas anda RM100 sebulan:

Langkah 1 ➡️ RM100 ÷ RM592 = 0.1689 gram sebulan

Langkah 2 ➡️ RM592 ÷ RM100 = 5.92 ➡️ lebih kurang 6 bulan untuk kumpul 1 gram

Itu kalau harga kekal sama. Tapi harga emas ni bergerak setiap hari, jadi bilangan bulan tu boleh lebih atau kurang. Kalau belum ada akaun, cara mula beli ada dalam Cara Beli 1 Gram Emas Menerusi My GAP.

Nak tahu cara kira purata harga bila beli setiap bulan? Saya dah terangkan dalam Puratakan Belian Anda!. Kenapa disiplin lebih penting dari tunggu harga paling rendah pula, saya cerita dalam Stressnya! Bila Masa Sesuai Nak Beli Emas Ni?.

Yang penting, RM100 tu duit lebihan. Bukan duit sewa, bukan duit kecemasan. Bukan juga duit kenduri kahwin adik 😁

SOAL JAWAB RINGKAS

Emas boleh jadi dana kecemasan ke?

Boleh jadi sandaran tambahan. Tapi untuk 1 gram GAP, anda jual pada harga PG Buy hari itu, duit masuk 1 hingga 2 hari perniagaan, dan baki 1 gram mesti ditinggalkan dalam akaun. Sebab tu dana kecemasan utama elok dalam tunai.

Jual emas GAP, berapa lama duit masuk akaun?

Ikut terma GAP, jualan yang disahkan sebelum 4 petang dikreditkan pada hari perniagaan berikutnya. Selepas 4 petang, dalam 2 hari perniagaan berikutnya.

Akaun GAP dilindungi PIDM ke?

Tidak. FAQ PIDM menyenaraikan produk pelaburan atau akaun berkaitan emas sebagai tidak dilindungi.

PENUTUP

Pendek kata:

  • Setiap nilai duit yang diperolehi itu, keutamaannya: belanja wajib, dana kecemasan, hutang, kemudian simpanan jangka panjang.
  • Pada hemat saya, emas lebih sesuai berada pada kategori simpanan jangka panjang.
  • Untuk 1 gram GAP, jual balik ikut harga PG Buy, duit masuk 1 hingga 2 hari perniagaan (bergantung juga pada waktu bank beroperasi, atau cuti umum/peristiwa). Sebab tu dana kecemasan utama elok dalam tunai.
  • Contoh 18 Okt 2026: 1 gram GAP RM592; dengan RM100 sebulan, lebih kurang 6 bulan untuk kumpul 1 gram, jika harga kekal sama.

Bila asas kewangan dah kukuh, anda lebih bersedia bila harga emas turun, sebab anda tak terpaksa jual emas untuk kecemasan. Lama-lama, anda sendiri boleh jadi ‘pakar’… siap boleh terangkan susunan ni kepada keluarga 😊


Nota. Harga 1 gram GAP dalam artikel ni ialah harga di laman Public Gold yang dikemas kini 18 Oktober 2026. Cuma, harga emas bergerak setiap hari, dan terma GAP boleh dikemas kini oleh Public Gold. Kalau ada yang jumpa angka yang tak tepat atau bercanggah, WhatsApp saya di 019-9724857 (wa.me/60199724857) atau @rizaniaga. Saya akan semak dan betulkan secepat mungkin. Artikel ni untuk perkongsian ilmu, bukan nasihat pelaburan.

Link/Sumber berkaitan

  1. Public Gold, harga Gold Accumulation Program (24K) “RM 592 = 1.0000 gram” (dikemas kini 18 Okt 2026): https://publicgold.com.my/ (19 Okt 2026)
  2. Public Gold, Terma dan syarat produk GAP (fasal 1.8 belian minimum RM100; fasal 3.1, 3.2, 3.3, 3.5 jual balik, baki minimum dan tempoh kredit): https://my-cdn.publicgold.com.my/image/catalog/common/liveprice/pdf/tnc_gap.pdf (19 Okt 2026)
  3. KWSP, What Is An Emergency Fund and Why Do You Need It? (20 Okt 2023): https://www.kwsp.gov.my/en/w/article/emergency-fund (19 Okt 2026)
  4. PIDM, FAQ Sistem Insurans Deposit: https://www.pidm.gov.my/general/faqs/deposit-insurance-system (19 Okt 2026)
  5. emasdanperak.com, Cara Kiraan Spread Emas dan Perak: https://emasdanperak.com/cara-kiraan-spread-emas-dan-perak/
  6. emasdanperak.com, Cara Beli 1 Gram Emas Menerusi My GAP: https://emasdanperak.com/cara-beli-1-gram-emas-menerusi-my-gap-gold-accumulation-program/
  7. emasdanperak.com, Puratakan Belian Anda!: https://emasdanperak.com/puratakan-belian-anda/
  8. emasdanperak.com, Stressnya! Bila Masa Sesuai Nak Beli Emas Ni?: https://emasdanperak.com/stressnya-bila-masa-sesuai-nak-beli-emas-ni/

© EmasDanPerak.com | Semak harga dan info di Channel