Public Gold ada jual perak dalam bentuk bar, dan salah satu saiznya ialah bar perak 100 gram.
Katakanlah anda tengah usha bar 100 gram tu. Sebelum buat keputusan, anda buka carta harga perak di internet. Keluar satu nombor besar: 60.40.
“EH, TAKKAN 100 GRAM PERAK CUMA 60 DOLAR???”
Kalau betul, memang nak borong sekilo terus… eh, nanti dulu 😅 Nombor tu bukan harga 100 gram. Bukan harga segram pun.
Entri ni jawab soalan tu, sekali gus jadi pembuka Siri Carta Perak: Cara Baca Carta Harga Perak.
Satu perkara awal-awal: siri ni bukan kelas meramal harga. Tujuan dia satu je: bila anda tengok carta perak, anda faham apa yang anda tengok.
Jawapan pendek: nombor pada carta tu harga untuk SEAUNS. Dan harga seauns perak memang jauh lebih rendah dari harga seauns emas.
Berapa jauh? Pada hari yang sama (2 Oktober 2026), carta emas tulis 4,140.80 dolar seauns:
4,140.80 ÷ 60.40 ➡️ lebih kurang 68.6
Bahasa mudah, hari tu harga seauns emas hampir 69 kali harga seauns perak. Angka ni dipanggil nisbah emas-perak.
Mungkin anda terfikir, perak ni lagi banyak kot? Ada satu fakta yang boleh kita tengok. Ikut laporan Mineral Commodity Summaries 2026 dari USGS (biro sains kerajaan Amerika), lombong seluruh dunia keluarkan anggaran 26,000 tan metrik perak pada 2025. Emas pula anggaran 3,300 tan metrik. Lebih kurang 8 kali ganda.
Tapi perasan tak? Pengeluaran lombong 8 kali ganda, beza harga pula hampir 69 kali. Maknanya pengeluaran lombong bukan satu-satunya cerita di sebalik harga perak, dan fakta ni bukan petunjuk arah harga.
Sekarang jom jawab soalan asal tadi.
‘Auns’ yang dipakai untuk logam berharga ialah auns troy. Ikut jadual penukaran NIST (badan piawaian Amerika), 1 auns troy = 31.10348 gram. Bukan auns biasa dalam resipi kek tu ya.
Guna harga carta perak 2 Oktober 2026 dan kadar tengah USD Bank Negara Malaysia sesi 5 petang hari yang sama (RM4.0830), kiraannya tiga langkah je:
(1) 100 ÷ 31.10348 ➡️ lebih kurang 3.215 auns
(2) 3.215 × 60.40 ➡️ lebih kurang USD194.19
(3) 194.19 × 4.0830 ➡️ lebih kurang RM792.88

Haa… baru nampak nombor yang masuk akal untuk 100 gram. Kaedah yang sama untuk emas saya dah terangkan dalam artikel Panduan Asas Pengiraan Emas Per Gram.
Untuk perhatian, ni contoh kiraan sahaja:
(1) Harga carta ikut waktu New York, kadar BNM ikut waktu Malaysia. Masanya tak sama tepat.
(2) Ini harga pasaran dunia, bukan harga anda beli atau jual bar perak di Public Gold.
(3) Harga belian dan harga jual balik tak sama. Beza tu dipanggil spread. Cara kiraannya ada dalam artikel Cara Kiraan Spread Emas Dan Perak (contoh dalam artikel tu guna emas).
Lepas faham nombor besar tu, jom tengok bahagian lain dalam carta. Carta di bawah ialah tangkapan skrin dari laman silverprice.org, pada 2 Oktober 2026, pukul 5:15 petang waktu New York.

Nombor dari 59.50 sampai 62.50. Ni harga perak dalam dolar Amerika (USD) seauns. Garisan halus mendatar di belakang carta berjarak 0.50 dolar setiap satu.
Tajuk di atas carta pula tulis “Spot Silver Price (Mid) USD/oz”. Mid maksudnya harga tengah-tengah antara harga bid (harga untuk menjual di pasaran) dengan harga ask (harga untuk membeli).
Nombor 0 sampai 24, berlabel “NY Time”. Maksudnya jam ikut waktu New York, bukan waktu Malaysia.
Sehingga 1 November 2026, waktu Malaysia = waktu New York tambah 12 jam. Mulai 1 November, Amerika tamatkan waktu jimat siang dan undur jam sejam, jadi beza jadi 13 jam. Maknanya, carta yang diambil 5:15 petang Jumaat 2 Oktober di New York tu sama dengan 5:15 pagi Sabtu 3 Oktober di Malaysia.
Nota: laman tu tak terangkan ▲0.16 tu dibanding dengan harga bila. Jadi saya tak nak teka.
Warna setiap garisan ada dalam kotak di atas sebelah kanan: biru untuk 29 September, merah untuk 30 September, putih untuk 1 Oktober. Garisan 2 Oktober pula… pun putih! Cara senang cari garisan hari ni: dia yang terhenti sekitar pukul 5 petang.
Buka silverprice.org hari ni. Cari tiga benda:
(1) harga paling tinggi (High)
(2) harga paling rendah (Low)
(3) garisan mana satu hari ni (petua: yang terhenti pada waktu sekarang)
Kalau rajin, kira nilai 100 gram perak dalam ringgit guna tiga langkah tadi. Kadar tengah USD boleh dilihat di laman Bank Negara Malaysia. Tulis jawapan anda di ruangan komen. (Tolong jangan kongsi nombor telefon atau butiran simpanan anda di komen ya.)
Pendek kata:
Jujur saya katakan, nombor kecil pada carta perak ni memang mudah buat orang salah faham. Sekali anda tahu nombor tu harga seauns, anda takkan terkeliru lagi bila tengok carta perak. Lama-lama, anda pula yang terangkan kepada kawan dalam group WhatsApp kenapa harga perak dua digit je 🙂
Jadi, masa mula-mula nampak harga perak, anda ingat nombor tu harga segram ke seauns? Kongsi di ruangan komen di bawah.
Nota. Angka carta ialah tangkapan skrin bertarikh 2 Oktober 2026; fakta lain disemak pada 22 Oktober 2026. Cuma, data pasaran bergerak laju, dan kadang-kadang sumber pun tak sama antara satu dengan lain. Kalau ada yang jumpa angka yang tak tepat atau bercanggah, WhatsApp saya terus di 019-9724857 (wa.me/60199724857) atau @rizaniaga. Saya akan semak dan betulkan secepat mungkin. Artikel ni untuk perkongsian ilmu, bukan nasihat pelaburan.
© EmasDanPerak.com | Semak harga dan info di Channel