Umum sudah ketahui emas adalah salah satu logam berharga yang telah lama menjadi simbol kekayaan, status, dan keindahan. Salah satu perkara lain yang perlu diambil kira adalah nilai ketulenan emas itu sendiri. Bahasa mudah, kita semua mesti ada sedikit pengetahuan berkaitan dengan gred emas. Gred emas menentukan peratusan emas tulen yang terdapat dalam sesuatu produk emas, yang pada masa yang sama turut menentukan harga dan ketahanan produk tersebut. Setiap gred emas mempunyai campuran logam lain seperti tembaga, nikel dan zink yang ditambah untuk meningkatkan sifat fizikal emas.
Memahami gred emas dan kandungan logam lain yang terdapat dalamnya adalah penting bagi pengguna untuk membuat pilihan yang bijak. Pemilihan gred emas yang sesuai bergantung kepada tujuan penggunaan, sama ada untuk pelaburan, barang kemas harian, atau barang hiasan mewah.
Emas tulen, yang dikenali sebagai emas 24 karat (24k), mengandungi 99.9% emas (juga disebut emas 999), menjadikannya hampir tidak tercampur dengan logam lain. Emas 24 karat hanya sesuai untuk simpanan jangka panjang atau pelaburan. Sifat emas 24 karat adalah logam yang sangat lembut dan mudah bengkok, menjadikannya kurang sesuai untuk kegunaan harian (seperti barang kemas). Oleh itu, campuran logam seperti tembaga, nikel, dan zink sering kali diperlukan untuk meningkatkan kekerasan dan ketahanan emas, terutamanya dalam pembuatan barang kemas.
Tembaga sering digunakan dalam jumlah yang lebih tinggi untuk menambah kekuatan dan menukar warna emas kepada rona kemerahan. Nikel biasanya ditambah untuk meningkatkan kekerasan dan kilauan, namun, ianya kurang sesuai bagi mereka yang mengalami alahan kulit. Zink digunakan dalam kuantiti yang lebih kecil, berfungsi untuk memberikan ketahanan tambahan kepada emas. Pendek kata, penggunaan tembaga, nikel, dan zink dalam campuran emas memberikan kelebihan tertentu bergantung pada sifat-sifat yang dikehendaki.
Namun, jika campuran logam seperti yang dinyatakan ini hadir lebih dari 0.01%, ianya tidak lagi dipanggil emas 999 atau emas 24 karat. Maka, muncullah gred emas lain seperti 22k, 18k, 14k ataupun 10k. Dari segi kualiti, sudah tentu ia akan lebih rendah dari nilai emas 24k. Namun, dari segi lain, ini menjadikan gred emas yang lebih rendah seperti emas 14K dan 10K lebih tahan lasak untuk kegunaan harian, walaupun kilauannya kurang jika dibandingkan dengan emas yang lebih tulen.
Berikut dilampirkan satu jadual perbandingan gred emas, dan juga komposisi kandungan campuran logam mengikut gred.
Gred Emas | % Emas | % Tembaga | % Nikel | % Zink |
---|---|---|---|---|
24 karat (999) | 99.9 | ~0.1 | – | – |
22 karat (916) | 91.6 | 5-7 | 1-3 | 1-3 |
21 karat (875) | 87.5 | 8-10 | 2-5 | 2-5 |
18 karat (750) | 75.0 | 10-15 | 5-10 | 5-7 |
14 karat (585) | 58.5 | 20-25 | 10-15 | 5-7 |
10 karat (417) | 41.7 | 30-40 | 10-15 | 10-15 |
9 karat (375) | 37.5 | 30-45 | 10-15 | 10-15 |
Bagaimana dengan penggunaan perak dalam campuran gred emas?
Untuk pengetahuan, perak juga boleh digunakan untuk memberi kekerasan dan ketahanan kepada atau warna yang lebih cerah (seperti emas putih), namun, perak bukanlah logam yang paling dominan digunakan dalam campuran emas berbanding tembaga, nikel, dan zink.
Sekiranya anda seorang pelanggan sedia ada public gold, atau kali pertama mendengar perkataan public gold, anda berpeluang untuk membeli emas 24 karat atau emas 22 karat secara atas talian, juga mempunyai sijil patuh syariah pada harga yang sangat berpatutan. Rujuk gambar di bawah.
PENUTUP
Setiap gred emas menawarkan keunikan tersendiri berdasarkan kandungan emas tulen dan logam lain seperti tembaga, nikel, dan zink. Emas 24 karat, dengan kandungan emas hampir 100%, adalah yang paling tulen, paling bernilai dan sangat mewah, tetapi kerana kelembutannya, ia tidak begitu sesuai untuk kegunaan harian. Oleh itu, emas 24 karat lebih kerap dijadikan pilihan untuk pelaburan dalam bentuk jongkong atau syiling emas, sementara emas dengan kandungan logam lain lebih sesuai untuk kegunaan perhiasan diri.
Gred emas lain seperti 22 karat dan 18 karat juga sangat popular dalam pembuatan barang kemas kerana menawarkan keseimbangan antara keindahan emas tulen dan ketahanan logam campuran. Emas 22 karat masih mengekalkan kilauan emas yang hampir tulen, manakala emas 18 karat, dengan kandungan logam campuran yang lebih banyak, ia menjadikan lebih tahan lasak – ia bermaksud emas 18 karat sesuai untuk barang kemas yang dipakai setiap hari tanpa kehilangan kilauan asalnya.
Bagi mereka yang mencari pilihan yang lebih tahan lama dan kos efektif, emas 14 karat dan 10 karat adalah alternatif terbaik. Emas 14 karat dengan kandungan emas 58.5% memberikan keseimbangan yang baik antara kekerasan dan kilauan. Manakala emas 10 karat, walaupun kandungan emasnya lebih rendah (41.7% emas), adalah sangat kukuh dan tahan lama (tapi kurang sesuai untuk sesiapa yang alami alahan kulit – kena beli emas yang lebih mahal, hehe). Kandungan logam campuran yang lebih tinggi dalam gred ini menjadikannya lebih tahan terhadap calar dan kerosakan fizikal.
Kesimpulannya, sama ada emas dipilih itu digunakan untuk pelaburan atau untuk pemakaian harian, mengetahui ciri-ciri setiap gred emas membantu para pengguna membuat pilihan yang sesuai dengan keperluan dan tujuan yang diinginkan.
© EmasDanPerak.com | Semak harga dan info di Channel