Mazhab Dalam Simpanan Dan Pelaburan Emas dan Perak?

Antara soalan yang sering diajukan kepada saya adalah:

  • bagaimana untuk mulakan simpanan emas?
  • berapa modal yang diperlukan untuk pelaburan emas?

Untuk menjawab soalan seperti ini, sebenarnya agak subjektif. Ini kerana sebelum melakukan pelaburan atau simpanan emas, anda perlu

(1) fahami dan kenali siapa diri anda

(2) mazhab mana yang ingin anda pegang?

Untuk menjawab soalan nombor (1), saya rasa anda yang mampu menjawab sendiri soalan ini, kerana hanya anda sahaja yang tahu ‘peel’ perangai anda.

[box]Dalam bahasa mudah, sekiranya anda senyum sekalipun, hanya anda yang tahu kenapa anda senyum. Orang lain yang melihat anda ketawa, beranggapan bahawa anda dalam mood sedemikian disebabkan anda sedang bergembira atau meraikan sesuatu. Hakikatnya, hanya anda yang tahu kenapa anda ketawa.[/box]

Manakala, bagi jawapan nombor (2) pula, anda perlu tahu perihal mazhab dalam simpanan mahupun pelaburan emas.

EH….NAK SIMPAN EMAS PUN PAKAI MAZHAB KE BANG?

AIK..BIAR BETUL BETIK NAK MELABUR EMAS PAKAI MAZHAB! KO NI JANGAN BAGI AJARAN SESAT BOLEH???

Bertenang… mari saya jelaskan dahulu, apa yang dimaksudkan dengan mazhab. Menurut kamus Dewan Bahasa Pustaka (DBP) edisi keempat, perkataan mazhab merujuk kepada “aliran; fahaman; pemikiran; falsafah; ajaran; ikutan; pegangan; kepercayaan; doktin; atau maksim.

OWH…MACAM-MACAM LA KO NI RIZAL…CAKAP BIAR TERANG LAIN KALI!!!

Haa…nak terang la ni, saya sambung lagi ok, dalam simpanan dan pelaburan emas ini, ada sekurang-kurangnya 6 mazhab yang biasanya wujud. Jom kita baca satu per satu.

Mazhab 1: Mazhab Penyimpan
Beli emas tanpa hiraukan harga naik turun emas. Selagi ada duit lebihan, selagi itu mereka lakukan belian. Kekerapan belian pula, tidak tentu. Ada yang lakukan belian mingguan; bulanan; atau tahunan macam saya. Bagi mereka, sasaran utama adalah berapa gram yang mereka boleh beli dengan kuasa beli yang ada. Mereka yang berpegang dengan mazhab sebegini, bolehlah dikatakan terdiri dari golongan penyimpan semata-mata. Mereka akan gunakan gram yang ada dalam simpanan mereka pada saat diperlukan.

 

Mazhab 2: Mazhab Pelabur
Individu yang berada dalam kategori ini pula melakukan belian emas pada harga yang dirasakan rendah, dan mereka akan jual balik sekiranya harga yang dibeli itu telah melepasi harga belian sebelum ini. Mereka tidak akan sesekali menjual emas sekiranya harga tersebut masih di bawah modal. (setidak-tidaknya, mereka akan jual balik dengan harga yang mereka beli). Mereka yang berpegang dengan mazhab pelabur ini sangat menitikberatkan isu berkaitan spread. Ini adalah ciri-ciri asas bagi pemegang mazhab pelabur.

 

Mazhab 3: Mazhab Peniaga
Golongan ini boleh dikatakan antara golongan yang berfikiran jauh dan suka mengambil peluang yang ada. Biasanya individu yang mendalami aliran ini, akan mengambil keputusan untuk (a) simpan; (b) labur; dan (c) berkongsi kebaikan kepada sesiapa sahaja. Maka tak hairanlah, golongan seperti ini sanggup menggunakan kuasa beli yang ada, atau mengambil peluang untuk menjadi agen/dealer seperti saya 🙂.

 

Mazhab 4: Penilai dan Pemerhati
Individu yang tergolong dalam golongan ini, biasanya terdiri dari mereka yang suka menilai dan memerhati rakan-rakan mereka yang terlibat dalam 3 mazhab di atas. Bukan mereka tak berminat atau tak ada kesedaran berkaitan simpanan/pelaburan logam bernilai, cuma golongan ini suka memerhatikan ketiga-tiga mazhab di atas ini berjaya dahulu. Bila dah berjaya, barulah mereka akan mula mendampingi salah satu dari tiga golongan di atas (penyimpan, pelabur, peniaga) dan mula lakukan rutin yang pernah dilakukan oleh ketiga-tiga mazhab tadi (siap dianggap mentor gitu!). Maka, tidak hairanlah, ada dikalangan golongan penilai dan pemerhati ini menderita kerugian kerana mereka biasanya mahukan hasil yang segera dan cepat. Mereka akan mula melatah dan panik bila harga emas/perak yang dibeli tidak mendatangkan pulangan lumayan seperti ‘mentor’ mereka.

 

Mazhab 5: Penonton Setia
Penilai pun bukan, pemerhati pun bukan. Pada mereka, tiada apa-apa yang menarik berkaitan emas dan perak. Mereka yang berada dalam golongan ini, boleh dikatakan tidak mempunyai informasi tepat yang boleh menyebabkan mereka ingin lakukan simpanan ataupun pelaburan logam bernilai (emas dan perak). Mungkin juga mereka telah mempunyai pendapatan tetap atau pendapatan sampingan yang mana, lebih masyuk dari emas dan perak. Golongan ini biasanya disukai oleh pemegang mazhab Peniaga, kerana mereka masih boleh ‘dibentuk’ (setidak-tidaknya menjadi pelanggan tetap mereka).

 

Mazhab 6: Penipu dan Penyangak
Tidak dapat dinafikan, ada segelintir individu dari 3 mazhab pertama di atas yang telah ditakdirkan cemerlang dan berjaya dalam simpanan, pelaburan dan perniagaan emas. Namun, dek kerana dorongan nafsu yang sukar dikawal, individu yang mengamalkan mazhab keenam ini, akan mencari kaedah yang lebih jimat, mudah dan cepat untuk mengaut keuntungan yang melampaui batas. Justeru, tak hairanlah saban hari mereka akan mencari ‘mangsa terbaharu untuk diratah’. Mereka akan menggunakan apa jua medium untuk mengaburi mangsa mereka dan akan mula memburukkan individu/organisasi/syarikat yang tidak sealiran dengan pemahaman mereka. Malah, ada yang menggunakan isu agama, kaum dan sentimen tertentu untuk memastikan ‘si mangsa tertidur dan tertipu selamanya’. (Jujurnya saya kasihan dengan si mangsa, namun apakan daya, dah diberikan nasihat, tapi tak mahu dengar)

 

PENUTUP
Saya telah nyatakan jenis-jenis mazhab yang berkaitan dengan niche simpanan dan pelaburan emas. Saya juga tandakan setiap golongan itu dengan tiga warna berbeza (jika anda perasan iaitu hijau; biru; dan merah).

Soalan saya pada anda mudah sahaja, sebelum anda:

  • nak mulakan simpanan (kali pertama) emas/perak
  • nak buat pelaburan (kali pertama) emas/perak

‘Mazhab’ Mana Yang Ingin Anda Pilih???

Kenapa Anda Memilih ‘Mazhab’ Tersebut???

SOAL JAWAB RINGKAS

Kenapa masih ramai yang suka skim bertopengkan emas?
Tidak dapat dinafikan, masih ramai yang suka dengan skim bertopengkan emas. Ini kerana, mereka dijanjikan pulangan yang tinggi. Kita sepatutnya ikut sahaja ‘peraturan asas’ yang dinyatakan oleh pakar-pakar, pulangan yang ideal adalah sekitar 10% – 15% sahaja.

© EmasDanPerak.com | A Member or RTE Champion and PG1M